
Musim cuti sekolah hampir tiba! Pasti anak-anak paling gembira merancang percutian atau lokasi riadah di sekitar Kerteh. Di sini, kami ingin kongsikan bagaimana anda boleh manfaatkan hari anda selama dua hari ke lokasi sesuai untuk anda. Sebelum itu, tahukah anda bahawa Kerteh merupakan sebuah mukim yang terdapat di daerah Kemaman, Terengganu? Di sini terdapat beberapa perkampungan. Kerteh membangun hasil daripada adanya ’emas hitam’ iaitu petroleum yang terdapat di dasar Laut China Selatan yang menghadap ke pantai Kerteh. Kerteh menjadi salah satu kawasan tumpuan penting di daerah Kemaman dan dipanggil sebagai “City of Light” di kalangan pelancong kerana cahaya dari Kawasan Perindustrian Petroleum Petronas yang menerangi kawasan Kerteh pada waktu malam.
Aktiviti Hari Pertama : Bergambar dan Membeli-Belah!
Pantai Kemasik, Kemaman, Terengganu
Pantai ini sering dikunjungi oleh penduduk berdekatan atau pelancong. Ia adalah lokasi cantik untuk ambil gambar. Sama ada untuk gambar perkahwinan, lokasi penggambaran atau untuk menikmati keindahan alam semulajadi. Pantai Kemasik mempunyai air laut yang jernih dan dari jauh anda akan nampak pasirnya seperti keemasan. Desiran ombak kecil menghempas pantai disini lebih unik kerana di tepi pantai terdapat batu-batu kecil dan besar.

Sumber Gambar Dari www.beautifulterengganu.com
Di sini terdapat laguna air seperti tasik. Sangat cantik pemandangannya pada waktu pagi. Selain itu anda dapat lihat sampan para nelayan tersusun cantik di tepi pantai. Jika anda bernasib baik, anda dapat lihat nelayan pergi dan pulang selepas seharian ke laut. Gambar mereka melakukan aktiviti menangkap ikan juga boleh dilihat dari jauh.
Apabila ke sini, jangan risau tentang makanan, ini kerana terdapat deretan kedai jualan minuman dan makanan seperti Keropok Lekor. Makan di persisiran pantai sambil ditiup angin sepoi-sepoi bahasa. Nyaman! Untuk anda yang meminati fotografi, sila datang ke Pantai Kemasik agar tidak terlepas peluang untuk ambil gambar pantai yang unik ini.
Mesra Mall, Kemasik
Siapa sangka, di Kemasik, Terengganu terdapat pusat membeli-belah serba moden. Pusat membeli-belah satu tingkat ini berkeluasan 310,000 kaki persegi menyediakan pelbagai kemudahan. Dari barang keperluan harian, makanan, pakaian, aksesori, gadget, farmasi, kedai buku dan medan selera yang sedap. Di sini juga disediakan pusat riadah seperti panggung wayang, gelanggang futsal, gelanggan squash dan 24 lorong bowling.
Sebanyak 1000 tapak parkir untuk semua pelanggan dan ia adalah PERCUMA. Mesra Mall menyediakan laluan kerusi roda. Malah untuk anda yang ingin meminjam kerusi roda atau kereta bayi. Anda boleh mohon di Centre Court Concierge dan kakitangan Mesra Mall akan membantu anda. Tandas bersih dan surau juga tersedia untuk pelanggan beragama Islam. Perlu lakukan urusan perbankan? CIMB dan Maybank ada di Mesra Mall. Mudah kan?
Ingin menonton wayang? TGV Cinemas tersedia untuk anda dengan seleksi filem-filem terkini dari seluruh dunia. Manakala jika anda ingin ke farmasi, anda boleh ke Guadian dan Watsons. Pelbagai restoran dan kafe menawarkan hidangan istimewa. Mesra Mall dibuka setiap hari seawal 10 pagi dan tutup pada 10 malam. Ini adalah tempat terbaik untuk membeli-belah di Terengganu.
Aktiviti Hari Kedua : Penginapan Indah Dan Kenali Haiwan
Resorts World Kijal Menawarkan Aktiviti Untuk Seisi Keluarga
Awana Kijal atau sekarang dikenali sebagai Resorts World Kijal adalah lokasi penginapan paling sesuai untuk anda yang ingin bercuti ke kawasan Kerteh, Kemaman, Terengganu. Terletak di KM 28, 24210, Jalan Kemaman, Dungun, Kampung Meraga Beris, 24100 Kijal, Terengganu. Terdapat 4 jenis bilik mewah di sini. Resort bertaraf 5 bintang ini menawarkan aktiviti luar biasa untuk semua tetamu. Jom nikmati masa bersama keluarga dengan melakukan pelbagai aktiviti rekreasi & kemudahan. Pasti ada sesuatu yang menarik untuk setiap orang.
- Jungle Trekking dan laluan halangan
- Berbasikal
- Kolam Renang
- Jacuzzi & Sauna di luar
- Polo air
- Bola Keranjang
- Bola Tampar
- Gelanggang Tenis
- Gelanggang Catur
- Pingpong
- Memanah
- Pusat Gym
- Snooker
- Taman Permainan Kanak-Kanak
Taman Rekreasi dan Zoo Kemaman
Keunikan Taman Rekreasi & Zoo Kemaman (TRZK) adalah mempunyai persekitaran pantai yang indah, kampung nelayan dan flora dan fauna. Oleh kerana itu, MPK (Majlis Perbandaran Kemaman) mengambil inisiatif untuk membuat sebuah taman. Taman ini kemudiannya dikenali sebagai Taman Rekreasi Bukit Takal. Keputusan cadangan itu melahirkan idea seterusnya, iaitu penubuhan zoo mini. Zoo mini ditubuhkan bertujuan untuk memberi pendedahan dan mendidik generasi sekarang mengenali spesies flora dan fauna yang terancam.
Taman Rekreasi & Zoo Kemaman dibuka pada 11 Ogos 2009 dan merupakan satu-satunya zoo yang terletak di Zon Pantai Timur, Semenanjung Malaysia. Dengan seluas 35 ekar, ia menggabungkan mini zoo, kebun buah-buahan, kebun herba, kebun orkid, kebun tumbuhan tropika, kebun bonsai, taman tema air dan habitat semula jadi terbesar di negeri Terengganu.
TRZK adalah rumah kepada 54 spesies haiwan termasuk singa, harimau, gajah, orang utan, buaya tembaga dan pelbagai jenis burung. TRZK terletak di lokasi strategik yang boleh diakses melalui jalan iaitu Jalan Mak Chili – Ibok dan Jalan Kerteh – Ibok atau dengan melalui jalan air iaitu Sungai Bukit Kuang – Yak Yah River. TRZK memainkan peranan penting sebagai pusat pemuliharaan dan penempatan hidupan liar selain memberi pengetahuan mengenai flora dan fauna kepada pelawat.
Aktiviti menarik Taman Rekreasi dan Zoo Kemaman :
- Melawat Zoo dan kenali haiwan dari spesies Mamalia, Reptilia, Unggas dan Ikan.
- Zone Nurseri & Kebun (Herba, Buah-Buahan, Orkid
- Taman Tema Air (9 pagi hingga 5 petang)
- Gelongsor Air & Kolam Renang : RM10.00
Kolam Renang Sahaja : RM5.00
Sewa Pelampung: RM2.00
- Gelongsor Air & Kolam Renang : RM10.00
- Taman Permainan Kanak-Kanak
- Kereta Kuda (10 pagi hingga 12 tengahari & 2 petang hingga 4 petang)
- RM 20.00 setiap satu (maksimum 4 pax setiap perjalanan)
- Jambatan Gantung
- Lawatan Waktu Malam : Pakej Melihat Kunang-Kunang
- RM 15 (dewasa)
RM 10 (kanak-kanak)
- RM 15 (dewasa)
- Sungai Yak Yah River Cruise (11 pagi – 12.30 tengahari & 3 petang- 4.30 petang)
- RM40 (dewasa)
RM40 (kanak-kanak) - Bayaran termasuk 90 minit pelayaran sungai dan hidangan ringan, tiket masuk ke Taman Rekreasi dan Zoo Kemaman, serta kolam renang.
- RM40 (dewasa)
Semoga perkongsian ini dapat membantu anda merancang percutian ke Kerteh, Kemaman, Terengganu!